|  |
Presiden Majlis Peguam Ambiga Sreenevasen merupakan peguambela berprofil tinggi yang terkenal dengan perjuangannya terhadap tadbir urus yang baik, demokrasi, dan hak asasi manusia.
Beliau yang dipilih menjadi presiden majlis peguam pada bulan Mac 2007 merupakan presiden wanita kedua dalam sejalah pertubuhan itu. Majlis ini mempunyai seramai 36 ahli dan merupakan badan pentadbir Badan Peguam Malaysia.
Enam bulan selepas memegang tampuk kepimpinan, beliau telah menganjurkan "Perarakan Untuk Keadilan" di pusat pentadbiran Malaysia di Putrajaya. Beliau menyeru supaya dilakukan perubahan kehakiman serta siasatan dijalankan berkaitan sebuah rakaman pita yang menayangkan seorang peguam sedang menguruskan secara haram pelantikkan hakim dan tugasan-tugasan kes. Tindakan terbuka beliau serta kempen melobi yang bersungguh-sungguh telah membawa kepada pembentukkan sebuah suruhanjaya diraja yang mendapati ada perlunya dilakukan tindakan pembetulan.
Ambiga sentiasa konsisten dengan pendirian beliau dalam menegakkan kedaulatan undang-undang sepanjang dia memegang jawatan tersebut. B eliau mengutuk keras penahanan bermotivasikan politik dua orang wartawan dan pengharaman kumpulan aktivis etnik India oleh pihak kerajaan serta penahanan ahli-ahlinya.
Kerja beliau yang paling menimbulkan kontroversi adalah berkaitan kebebasan beragama dan hak wanita. Beliau pernah berdepan dengan sikap seksis di Parlimen dan bersedia membawa mana-mana kes ke perhatian umum jika timbul keperluan untuk berbuat demikian.
"Kesamaan gender adalah tanggungjawab semua rakyat Malaysia," kata Ambiga dalam suatu kenyataan akhbar yang membantah kata-kata hina seorang ahli politik.
Beliau berjaya memperjuangkan pemindaan Perlembagaan Persekutuan Malaysia untuk memastikan bahawa testimoni golongan wanita adalah sama penting dengan pihak lelaki di mahkamah Syariah. Beliau terus memperjuangkan kebebasan agama bagi wanita yang masuk Islam semasa berkahwin. Di bawah undang-undang semasa, wanita-wanita ini tidak dibenarkan menganuti semula agama asal mereka selepas perceraian, tanpa mengira punca-punca perceraian tersebut.
Akibat usaha beliau mewujudkan penyelesaian undang-undang terhadap isu-isu yang masih menimbulkan ketegangan etnik dan masalah perlembagaan, Ambiga pernah menerima surat yang membenci beliau dan ancaman bunuh. Malah, koktel Molotov juga pernah dilemparkan ke rumah beliau. Ratusan orang daripada pelbagai kumpulan agama dan ahli-ahli konservatif kerajaan telah membuat bantahan di bangunan majlis peguam untuk menuntut supaya beliau ditahan.
Namun demikian -biarpun negara ini terdiri daripada campuran etnik dan agama yang boleh bergolak pada bila-bila masa - Ambiga tetap tabah dalam usaha beliau mencari jawapan dalam lingkungan kedaulatan undang-undang dan berusaha supaya struktur urus tadbir dan perundangan Malaysia menjadi lebih telus, boleh diterima, dan saksama.
Usaha Ambiga telah mendapat pengiktirafan daripada Amerika Syarikat. Pada 11 Mac, beliau akan dikurniakan Anugerah Keberanian Wanita Antarabangsa oleh Setiausaha Negara A.S. Anugerah ini mula diperkenalkan pada tahun 2007 untuk menghargai keberanian dan kepimpinan luar biasa dalam memperjuangkan pemajuan dan hak wanita.
Teks Ucapan Ambiga Sreenevasan
|